Friday, March 26, 2010

Mengelak Titi Tinggi, Hulu Selangor Yang PASti...


Pertama sekali, ingin penulis ucapkan salam takziah buat Pejuang Rakyat dari kawasan parlimen Hulu Selangor sekeluarga yang mana wakilnya dari Parti Keadilan Rakyat telah dijemput ALLAH untuk menghadap sebagai hamba-Nya pada jam 2130 tadi setelah didatangkan ALLAH dengan ujian barah otak sejak sekian lama. Pejuang berkenaan bernama Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad telah menghembuskan nafas akhirnya ketika berada di rumahnya di Jalan Cheras, Kajang. Bagi penulis, pengaruh Allahyarham bagi kawasan ini adalah sangat berkesan kerana dia telah mengalahkan seorang calon yang paling disebut-sebut akan menggantikan seorang puaka dari Sungai Siput yang sebelumnya telah memenangi kawasan parlimen ini dengan majoriti lebih 14,000. Walaupun dengan hanya menang dengan kelebihan 198 undi dalam pilihanraya umum 2008, ternyata imannya yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor pada masa pemerintahan kuku besi ini tidak goyah sama sekali untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Ini adalah berlawanan sama sekali dengan sikap dari seorang opportunis yang dipecat dari Kulim-Bandar Baharu yang kononnya mencanangkan bahawa Datuk Seri Pejuang Permatang Pauh telah menawarkan habuan yang pasti menggoncang iman berupa wang tunai demi mencapai matlamat untuk memfitnah dewa tertinggi pemerintah zalim dan isteri. Sekalung tahniah penulis panjangkan kepada keluarga Allahyarham kerana ketetapan prinsip perjuangan Allahyarham untuk turut sama mengikhlasi asas pegangan iaitu mendaulatkan keBENARan. Semoga ALLAH melimpahi Allahyarham dengan balasan redha-Nya ke atas roh Allahyarham dan keluarga. Penulis memanjangkan doa agar roh Allahyarham ditempatkan dari kalangan para soleh serta mendapat syafaat dari Rasulullah S.A.W. pada hari akhirat kelak. Al-Fatihah.

Dengan itu, akan bermulalah sebuah lagi siri pilihanraya kecil di negara kita selepas beberapa hari sebelumnya telah heboh kononnya seorang wakil dari pemerintah zalim di Titi Tinggi melakukan 'ujian pasaran' (test market) yang penulis pasti ianya hanya untuk menggertak dewa tertinggi pemerintah zalim yang terkenal dengan sikap bacul. Ini adalah sebuah pilihanraya kecil yang ke-10 sejak pilihanraya umum pada 8 Mac 2008 lepas. Pilihanraya kecil sebelum ini telah diadakan di Permatang Pauh pada 2008, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manik Urai, Permatang Pasir dan Bagan Pinang yang kesemuanya diadakan pada 2009. Keputusan bagi kesemua pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini adalah menunjukkan calon Pakatan Rakyat telah memenangi 7 kerusi berbanding 2 dimenangi oleh pemerintah zalim. Jadi untuk lebih memberikan tentangan yang paling memalukan dalam sejarah kebangkitan suara rakyat melalui undi, sama-samalah kita menyatu tenaga dan fikrah untuk memberikan satu lagi siri kekalahan kepada parti pemerintah dalam pilihanraya kecil kawasan parlimen Hulu Selangor. Semoga ALLAH meredhai perjuangan Allahyarham terdahulu yang berkhidmat di sini.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

Monday, March 22, 2010

Pekembar Pasir Puteh Tidak Adil...

Satu perkara yang sedikit membingungkan penulis mengenai parti kebangsaan paling berpengaruh dalam menyebarbiakkan dakyah pemikiran sempit terhadap rakyat Malaysia iaitu apabila sebuah dari bahagiannya telah mengemukakan satu surat bantahan kepada anggota parlimennya dari Gua Musang berhubung dengan keterbukaan Wira Gua Musang ini untuk mendukung aspirasi tuntutan royalti minyak kepada Kelantan. Dalam surat bantahan itu dinyatakan bahawa ketua bahagian tersebut telah meluahkan rasa kecewanya kepada Wira Gua Musang kerana prinsip yang ditonjolkan oleh beliau adalah bercanggah dengan pendirian pemerintah zalim di peringkat pusat. Ini adalah berhubung dengan keputusan Wira Gua Musang yang menghadiri sebuah program penerangan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri berhubung dengan tuntutan royalti tersebut. Difahamkan bahawa surat bantahan itu juga telah dipanjangkan oleh dewa tertingginya dan makhluk paling atas dalam koloninya di peringkat negeri. Lihat di sini.

Anehnya, apabila sejumlah 3 orang ahli pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan mengundi untuk menyokong usul berhubung tuntutan royalti ini dibawa ke mahkamah tidak ada pula yang ingin mengambil tindakan terhadap mereka termasuk ketua pembangkang. Apakah mereka ini adanya imuniti dari sebarang tindakan di peringkat negeri mahupun pusat? Tidakkah mereka juga sudah melanggar KPI yang disyaratkan untuk membela pemerintah zalim pada peringkat pusat? Ataukah pemerintah zalim beranggapan bahawa prospek mereka untuk terus dipilih rakyat dalam menjayakan misi yang tidak diredhai ALLAH iaitu menawan Kelantan, maka dengan itu mereka tidak dihadapkan ke jawatankuasa disiplin? Lihat di sini.

Namun begitu, penulis berkeyakinan bahawa surat bantahan terhadap Wira Gua Musang yang dipanjangkan ke dewa tertinggi koloninya itu tidak akan ke mana-mana kerana sudah beberapa kali kononnya mereka ingin menghadapkan yang berkenaan ke jawatankuasa disiplin tetapi hasilnya tetap tak berubah. Kecenderungan Wira Gua Musang untuk berjuang bersama rakyat Kelantan seluruhnya bagi mendapatkan tuntutan royalti adalah disanjung tinggi walaupun kapalnya berbeza. Tidak sesekali penulis ingin menggadaikan dukungan penulis terhadap perjuangan Parti ISLAM SeMalaysia, tetapi apa yang ditampilkan oleh Wira Gua Musang ini adalah bertepatan dengan slogan ISLAM, Adil Untuk Semua.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ROYALTI UNTUK KELANTAN !!!

Persamaan Imej 1Malaysia Dan Propaganda Negara Jirannya...




Raja Lalang Sudah Hilang Akal...

Sebentar tadi penulis telah mengalami mimpi ngeri apabila dengan tak semena-mena telah terlihat pada dakyah pemikiran palsu serta doktrin menyesatkan pada jam 1330. Tujuan penulis hanyalah untuk mengetahui keputusan perlawanan bolasepak yang membabitkan musuh buyutan Real Madrid iaitu Barcelona. Bagaimanapun sementara menunggu laporan sukan terbabit, sengaja penulis mengikuti dakyah palsu tersebut untuk dijadikkan sebagai pendinding supaya tidak terjebak dalam kancah pemalsuan yang disampaikan.

Apa yang menjadikan pandangan penulis tergamam seketika adalah apabila paparan mengenai sidang Dewan Rakyat dilintaskan melalui kacamata televisyen. Pada ketika itu, penulis agak hairan dengan keletah seorang Raja Lalang @ Raja Katak dengan tindakan dia yang seolah-olah sudah hilang kewarasan akal dan pertimbangan lantas melemparkan beberapa helai kertas berwarna hijau itu. Maka terdetiklah dalam lubuk sanubari penulis bahawa adakah Raja Lalang ini benar-benar seorang pembela meLAYU sejati seperti yang dicanangkannya sebelum dari itu? Jika benar dia seorang pembela meLAYU sejati, apakah tindak-tanduknya itu akan melambangkan ketaksopanan meLAYU terhadap masyarakat lain? Tidakkah ini akan memberikan impak yang besar terhadap masyarakat lain bahawa 'pejuang meLAYU sejati' boleh mengeluarkan kata-kata kesat sehingga sanggup menggunakan perkataan H*R** J***H kepada golongan ulama'?

Malang sungguh penulis lihat pada Raja Lalang ini kerana walaupun mendapat sokongan padu daripada anggota parlimen Bebas lain, dia masih tak reti bahawa jawatan Ketua Pembangkang adalah disandang oleh pejuang Permatang Pauh yang mewakili Pakatan Rakyat dan bukannya dari Bebas. Jika dia ingin mengampu pemerintah zalim, dia sebenarnya tidak mampu mengikut garis panduan yang disyaratkan oleh pemerintah kerana dalam teks yang dikarang mereka sambil dibacakan sahaja oleh Yang Di-Pertuan Agung menetapkan supaya anggota parlimen menjaga adab dan akhlak dalam membahas usul yang dibentangkan. Ternyata Raja Lalang sudah gagal dalam menepati KPI yang disyaratkan oleh pemerintah zalim untuk mengampu mereka. Wallahua'lam.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

Saturday, March 13, 2010

Solat Hajat Bermula Malam Ini...

Tempoh untuk 'katak' Bagan Serai menarik balik keputusan keluar dari perjuangan Pakatan Rakyat telah pun tamat pada hari Jumaat. Sepanjang tempoh yang diberikan oleh pejuang yang mula-mula memperkenalkan dia kepada khalayak iaitu Ustaz Ahmad Awang, didapati bahawa 'katak' tersebut mengambil langkah berdiam diri dan langsung tidak menunjukkan reaksi untuk kembali kepada perjuangan. Oleh itu, sebagaimana yang dijanjikan bermula malam ini seluruh pejuang-pejuang Pakatan Rakyat terutamanya yang bertindak mengundi 'katak' tersebut akan mengadakan solat hajat secara marathon selama 7 malam berturut-turut berlangsung di Balai Kuliah Tasawur Islam Simpang Empat Semanggol Perak bagi bermunajat kepada ALLAH supaya menunjukkan 'katak' tersebut ke jalan kebenaran. Ianya dijangka akan tamat pada 19 Mac depan di Masjid Tinggi Bagan Serai.

Marilah kita sama-sama turut serta dalam bermunajat kepada ALLAH dari serata pelosok tanahair walaupun tidak mampu hadir ke program yang dianjurkan oleh Ustaz Ahmad Awang. Semoga ALLAH memperkenankan munajat kita demi bertindak dari barisan hadapan menegakkan hukum ALLAH dan menumbangkan kemungkaran serta kepalsuan dakyah mereka yang berdendam dengan ISLAM.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

Wednesday, March 10, 2010

Mampukah Mat Bagan Serai Menghadapi Marathon Solat Hajat???

Menjelang Sabtu ini, seorang 'katak' yang dilaporkan berkeliaran di sekitar Bagan Serai akan menghadapi solat hajat secara marathon selama 7 hari kerana tindakan 'katak' ini yang mengkhianati perjuangan serta jerih perih segerombolan bala tentera dari PAS yang ingin menghantar 'katak' ini ke parlimen mewakili pengundi. Walaupun dalam kenyataan sebelum ini menunjukkan bahawa katak ini tidak akan menyokong pemerintah zalim (itupun sebaran hanya melalui SMS), ianya masih belum cukup untuk memuaskan hati kalangan mereka yang bertungkus lumus mempertahankan 'katak' ini dalam pilihanraya lalu terutamanya Ustaz Ahmad Awang. Lihat di sini.

Bagi penulis, memang memadailah tindakan yang diambil oleh PAS Perak untuk mengadakan marathon solat hajat ke atas 'katak' ini walaupun penulis tidak terlibat secara langsung untuk mengenali dan mempertahankan 'katak' ini. Ini adalah kerana mandat yang diperolehi oleh 'katak' ini adalah kerana pengaruh dan keterbukaan dari Ustaz Ahmad Awang untuk menerima dia masuk ke dalam perjuangan. Haruslah kita ingat di sini bahawa kita tidak pernah mengamalkan politik dendam bahkan Ustaz Ahmad Awang sendiri sudah memberikan dia suatu tempoh yang memadai untuk dia mengubah pendirian selama 7 hari. Namun maklumbalas yang diperolehi dari Ustaz Ahmad Awang adalah tidak memberangsangkan dari 'katak' tersebut. Lihat di sini.

Menurut Ustaz Ahmad Awang, solat hajat yang akan dilaksanakan oleh pendukung-pendukung PAS sekitar kawasan Bagan Serai adalah berpusat di pusat pengajian agama yang diasaskan sendiri olehnya iaitu di Balai Kuliah Tasawwur Islam berdekatan dengan Semanggul. Ini adalah kerana di situlah tempat dimana mula-mula 'katak' ini diperkenalkan kepada pengundi kawasan Bagan Serai. Sambil menjangkakan seramai 600 orang anak muridnya akan menyertai pimpinan solat hajat itu, penyokong PAS dari kawasan berhampiran seperti Kuala Kangsar dan Parit Buntar juga akan menghadiri program tersebut bagi meneruskan tekanan buat 'katak-katak' yang berkeliaran seluruh negara.

Semoga 'katak-katak' ini akan ditunjuki oleh ALLAH akan akibat dari tindakan terlanjur mereka dalam mengkhianati jentera-jentera pejuang agama ALLAH supaya ianya tidak berulang. Sama-samalah kita mengimarahkan program menjernihkan perjuangan dengan turut serta dalam mengadakan solat hajat di serata pelusuk tanahair bagi kita menyingkirkan sikap opportunis di kalangan pemimpin yang kita lantik.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

Monday, March 8, 2010

Duri Di Cabut, Permata Sedang Di Nilai...

Alhamdulillah kerana satu keputusan yang sangat penting dalam perjuangan telah diumumkan oleh pimpinan atasan Pakatan Rakyat apabila mereka sebulat suara memecat seorang anggota parlimen yang "lebih ISLAM" dari orang lain. Dengan tindakan berani yang dilaksanakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat ini, maka tercabutlah satu lagi selumbar dalam perjuangan yang sebelum ini telah kita lihat beberapa orang "gugur" terkulai disebabkan desakan hidup untuk tak mampu berjuang kerana prinsip melainkan amarah. Sememangnya dalam kita mempertahankan sesuatu yang bernilai, akan hadir bersama-sama kita untuk kononnya mendukungi perjuangan kita walhal mereka adalah golongan opportunis yang melihat untuk beroleh kenikmatan sementara di dalam perjuangan. Apa yang penting bagi kita dalam jamaah, kita takkan berburuk sangka kepada mana-mana individu yang ingin menyertai kita walaupun mereka adalah golongan yang suatu ketika pernah memperlekehkan jamaah kita. Lihat di sini.

Perkara ini yang terjadi ke atas seorang katak dari Pasir Mas apabila dia diberikan laluan oleh penyandang parlimen tersebut iaitu Ustaz Ismail Noh dengan bertanding dalam pilihanraya umum 2008 lepas atas lambang PAS. Bagi PAS, tidak ada suatu kerugian untuk kami memberikan tempat itu kepada dia walaupun dia sudah melebihkan pemerintah walaupun dia dalam suatu kenyataan umum pernah mencaci golongan Ulama' dengan perkataan H*R** J***H. Agak rugi penulis apabila tidak dapat mencari kandungan ucapan tersebut kerana tidak mengambil pusing pada ketika itu pada kandungan ucapan tak bertamadun seperti itu. Setelah tersedar akan keterlanjuran katak itu, ianya sudah terlewat kerana vcd itu sudah tidak jumpa dicari. Begitu juga yang terjadi ke atas katak dari Bagan Serai kerana telah menghampakan harapan oleh mantan pesuruhjaya PAS Perak apabila bertindak mengkhianati perjuangan Ustaz Ahmad Awang sehingga sanggup mengiktiraf bahawa mengundi kepada katak ini, bererti mereka seperti mengundi Ustaz Ahmad Awang. Begitu besar kepercayaan Ustaz Ahmad Awang kepada si katak ini namun dikhianati.

Akan tetapi kami dari Pakatan Rakyat tidak pernah menganggap peluang yang didatangkan ALLAH kepada golongan opportunis ini sebagai satu kerugian. Ini sebenarnya akan lebih mencakna pemikiran kami untuk lebih berwaspada dalam memilih calon untuk diamanahkan menjaga kepentingan rakyat jelata. Sebagaimana yang pernah penulis menukilkan mengenai kesanggupan Wira Gua Musang untuk bersama ribuan rakyat Kelantan bagi menuntut royalti diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan, ianya adalah bukan tuntutan dari PAS untuk mempolitikkan isu ini sehingga mengheret anggota parlimen tersebut tetapi atas kesedaran terhadap sensitiviti dan hak setiap individu dalam memperjuangkan sesuatu yang benar. Sesungguhnya orang seperti Wira Gua Musang ini lah yang sangat diperlukan dalam perjuangan kerana dia tidak menyebelahi Pakatan Rakyat kerana emosi tetapi atas sikap rasional. Dan berita yang sedang dimaklumkan kepada mengenai pendirian Wira Gua Musang ini adalah sesuatu yang menggembirakan. Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku dalam sedikit masa mendatang. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat-Nya ke atas pejuang-pejuang sekalian.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

Thursday, March 4, 2010

Sejak Bila Mat Kulim-Bandar Baharu Tidak Mengiktiraf Lembaga Disiplin PKR???

Penulis agak tertarik dengan kenyataan seorang anggota parlimen dari Kedah ini yang mewakili Parti Keadilan Rakyat. Dialah seorang anggota yang penuh misteri dalam Pakatan Rakyat kerana 'kecintaan' beliau kepada ISLAM menggambarkan seolah-olah tidak ada orang lain yang mampu menandingi kecintaan dia itu. Dia telah dipanggil untuk menghadap jawatankuasa disiplin PKR hari ini dan kenyataan yang dikeluarkan beliau adalah dia tidak boleh dibicarakan oleh panel disiplin memandangkan anggota panel yang dilantik adalah terdiri dari kalangan yang bukan ISLAM. Pelik sungguh penulis dengan anggota parlimen yang seorang ni kerana sudah sekian lama dia bernaung dalam PKR yang terdiri dari rata-rata ahli yang bukan ISLAM tetapi dia tetap memberikan wala' pada pimpinan yang bukan ISLAM ini. Tetapi hari ini dia pula beranggapkan bahawa panel yang perlu dilantik untuk membicarakan beliau adalah sepatutnya di kalangan orang ISLAM sahaja memandangkan ianya berkaitan dengan isu kalimah ALLAH. Masalahnya sekarang adalah dia dipanggil untuk menghadap lembaga disiplin atas keterlanjuran dia mengkritik secara terbuka terhadap kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang dan saman beliau ke atas anggota parlimen Shah Alam. Dia bukan dipanggil untuk menghadap lembaga disiplin untuk menyatakan pendirian beliau berhubung isu kalimah ALLAH. Agak bingung penulis dengan pendirian anggota parlimen yang seorang ni. Dia seolah-olah tak mengerti atas kesalahan apa dia dipanggil untuk menghadap lembaga disiplin ini. Lihat disini.

Semoga ALLAH membuka mata hati anggota parlimen ini untuk menilai perbezaaan antara kepentingan ISLAM dan parti. Amin.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

'Katak' Bagan Serai Menghadapi Solat Hajat 7 Hari 7 Malam....

Alhamdulillah dan syabas penulis ucapkan kepada Ahli Majlis Syura Ulama PAS iaitu Ustaz Ahmad Awang kerana memberikan tempoh selama 7 hari kepada seorang 'katak' dari Bagan Serai supaya meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen kerana telah mengkhianati perjuangan serta jerih perih bantuan yang disalurkan oleh jentera PAS di Bagan Serai yang ingin memenangkan beliau dalam pilihanraya umum 2008 lalu. Dalam konteks ini, penulis sangat bersetuju dengan cadangan Ustaz Ahmad Awang kerana sepengetahuan penulis di kawasan tersebut jentera pilihanraya PAS adalah yang paling efektif dalam menggerakkan majlis-majlis penerangan kepada pengundi berbanding dengan bekas parti yang disertai oleh 'katak' tersebut. Jadi adalah tidak sepatutnya apabila 'katak' ini mengambil keputusan untuk keluar dari komponen Pakatan Rakyat sedangkan dia sebenarnya mengguris dan mencalarkan hati-hati pejuang dari PAS yang telah membantunya memenangi pilihanraya lepas. Lihat di sini.

Kepada 'katak' yang berkenaan, silalah ambil jalan yang selamat iaitu meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen bagi membolehkan pilihanraya kecil diadakan di kawasan berkenaan. Ini adalah kerana doa dari seseorang yang teraniaya akan diterima ALLAH tanpa hijab. Untuk membolehkan bahawa diri anda tidak mendapat laknat dari ALLAH kerana menghampakan harapan orang lain, buatlah pertimbangan yang sewajarnya kepada golongan yang bertungkus lumus memenangkan anda mengecapi dunia sebagai pemimpin masyarakat sementara. Anda tidak akan rasa aman dari ancaman yang didatangkan ALLAH setelah mengkhianati perjuangan kerana anda bukan menang atas kapasiti diri anda untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan baik. Semoga ALLAH menetapkan keimanan kita untuk istiqomah mengamalkan solat hajat tersebut selama 7 hari berturut-turut serta qunut nazilah bagi menyedarkan 'katak-katak' yang berkenaan supaya terus menghargai orang-orang yang terlibat secara langsung memenangkan dia.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!