Monday, November 9, 2009

1Malaysia Kuning....


Masih ingatkah kita kepada apa yang berlaku pada tanggal 10 November 2007? Ia adalah hari yang bersejarah dalam negara kita apabila menyaksikan satu perhimpunan rakyat bertaraf raksasa telah berlangsung di ibunegara. Perhimpunan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan yang menggelar diri mereka dengan Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (BERSIH) adalah bagi menuntut 4 perkara bagi membersihkan sistem pilihanraya negara kita. Memorandum tersebut telah berjaya dihantar dengan jayanya oleh wakil BERSIH kepada pengawal Istana Negara sekitar jam 3.30 petang.
Antara tuntutan yang dipersembahkan ke atas Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung adalah seperti berikut :

1. Penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berulang.
2. Pembersihan daftar pemilih yang didakwa turut mengandungi nama orang yang sudah meninggal dunia.
3. Pemansuhan undi pos yang kemungkinan untuk berlaku penyelewengan adalah tinggi.
4. Akses kepada media yang selalu memberikan maklumat berat sebelah.

Perjalanan yang dilalui oleh peserta perhimpunan adalah bermula dari 3 lokasi utama iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek dan Sogo sebelum berjumpa di hadapan Istana Negara. Ternyata bahawa apabila suara rayat disatukan melalui perhimpunan aman seperti itu, ia seakan-akan membawa satu gelombang yang menyeluruh dalam negara iaitu gelombang kebangkitan menuntut hak masing-masing melalui demokrasi.

Sebelum peristiwa ini berlaku, pihak pemerintah hanya tahu untuk menggunakan kuasa yang ada pada mereka bagi terus menekan rakyat seluruhnya. Pihak pemerintah seolah-olah tidak peka dan celik pada perubahan yang berlaku pada pengundi-pengundi mereka sedangkan mereka sehari-hari terus sahaja disajikan dengan berita palsu dari kaca televisyen kononnya rakyat masih teguh berdiri di belakang mereka. Sedikit sebanyak detik kekalahan besar yang dilalui oleh parti pemerintah ketika pilihanraya umum ke 12 akan menjadi titik tolak kepada mereka untuk lebih menghargai sokongan dan dukungan rakyat kepada mereka. Akan tetapi, perkara yang berlaku adalah sebaliknya.

Seakan-akan ingin membalas dendam kepada rakyat, pada tanggal 5 Jun 2008 pemerintah telah mengumumkan peningkatan harga penjualan petrol bersubsidi adalah sebanyak 78 sen kepada RM 2.70 seliter. Ternyata penolakkan secara kaffah terhadap parti pemerintah oleh rakyat seluruhnya pada pilihanraya umum ke 12 telah dipandang dendam oleh pemerintah. Mereka tidak pernah memandang penolakkan itu di sudut yang positif untuk menarik kembali sokongan rakyat untuk mengundi mereka. Hasil daripada dendam yang dicurahkan secara membuta tuli itu, kita disajikan dengan episod kekalahan demi kekalahan parti pemerintah dalam pilihanraya kecil yang diadakan yang mana ianya adalah sesuatu yang luar biasa berlaku di negara kita. Bermula dari pilihanraya kecil Permatang Pauh, merebak ke Kuala Terengganu, berpindah ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau seterusnya Penanti, Manik Urai dan berakhir di Permatang Pasir.

Jadi, di mana ungkapan "Seseorang yang bertaqwa tidak akan jatuh dalam lubang yang sama berulang kali" amatlah sesuai untuk kita terapkan dalam diri kita supaya hikmah yang berlaku atas setiap kejadian yang dirancang ALLAH kepada diri kita tidak menjadi sia-sia. Carilah petunjuk dan pedoman yang tepat untuk kita mentafsirkan setiap kejadian supaya menjadi berguna kepada kita di masa hadapan. Janganlah kita bersifat dendam hanya kerana tidak diberikan kuasa yang sepatutnya oleh ALLAH. Ingatlah, kuasa yang ALLAH berikan kepada kita sebenarnya adalah amanah yang semestinya akan diperhitungkan di padang mahsyar kelak.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

ALLAHUAKHBAR !!!

No comments:

Post a Comment