Sunday, November 15, 2009

Walimah Urus...... Penulis Bila Lagi??

Sebenarnya tajuk untuk catatan ini adalah cadangan dari seorang sahabat yang dapatlah penulis sifatkan dia sebagai seorang yang sangat memahami diri penulis walaupun kami hanya berjumpa apabila diundang menghadiri kursus. Untuk tidak mengecewakan sahabat itu, penulis gagahkan diri juga untuk menulis tajuk yang ini.

Penulis pernah diajukan soalan yang sama berulang kali oleh ramai kenalan mengenai bilakah tarikh sebenar penulis mahu menamatkan zaman bujang penulis. Akan tetapi, jawapan yang hanya penulis berikan kebiasaannya akan menghampakan mereka kerana penulis akan menjawab tidak ada orang yang berkenan pada penulis. Jawapan ini telah penulis berikan kepada hampir semua orang yang bertanya walaupun kadang-kadang penulis memberikan juga jawapan bahawa penulis tak nak langkah bendul. Apakah benar dakwaan penulis bahawa tidak ada yang berkenan? Wallahua'lam.

Setakat ini penulis belum pernah dilanda dengan perasaan cinta terhadap mana-mana kenalan walaupun pernah berkenalan dengan 3 orang. Bagi penulis, mereka yang bertiga itu bukanlah teman istimewa penulis kerana kami tidak pernah bersembang tentang apa-apa yang boleh disabitkan dengan perasaan hati masing-masing. Sebab itu perkenalan penulis dengan mereka hanya bertahan 2 minggu. Mungkin juga tempoh 2 minggu itu belum cukup matang untuk kami bercerita tentang perasaan hati masing-masing. Jadi selepas penulis 'putus' (penulis guna istilah orang-orang muda sekarang) dengan muslimat yang ketiga iaitu sekitar Julai 2008, sampai sekarang penulis masih sepi dari mencari pengganti. Bukanlah niat penulis untuk menjadi serik dalam pencarian, tetapi lebih kepada sikap berhati-hati dalam menjalin ukhuwah. Penulis tidak lagi mahu membazirkan masa pendek yang diperuntukkan ALLAH hidup di dunia ini untuk mencari perkara yang sia-sia. Sudah menjadi lumrah manusia apabila mereka terlalu mahukan perkara yang pasti, begitu jugalah naluri penulis. Pembuangan masa hanya akan menyebabkan kita lemah dalam mencari kepastian.

Pernah juga penulis dituduh oleh beberapa kenalan bahawa penulis ini seorang yang terlalu memilih calon muslimat sedangkan itu kurang tepat kerana pemilihan yang mereka maksudkan itu adalah dari segi rupa. Memang betul penulis memilih calon tetapi calon itu mestilah seorang calon yang mampu faham dengan apa yang penulis perjuangkan dan komitkan sehingga ke hari ini. Tidaklah penulis mengharapkan turunnya Siti Khadijah R.A. tetapi sekurang-kurangnya cukuplah sekiranya penulis dipertemukan dengan seseorang yang mempunyai semangat untuk meninggikan syiar ISLAM di Malaysia ini.

Gambar Hiasan.

Untuk itu, penulis seringkali mengelak dari membicarakan soal munakahat di kalangan sahabat-sahabat kerana penulis tidak mahu terganggu dengan penumpuan penulis terhadap perjuangan mendaulatkan ISLAM. Ramai daripada mereka sering menceritakan kepada penulis tentang pelbagai keberuntungan yang mereka kecapi selepas mereka berumahtangga akan tetapi ada satu perkara yang sangat-sangat penulis terasa sesudah penulis berkhalwat dengan sahabat yang dinyatakan tadi. Perkara itu adalah berkaitan zuriat. Mendengarkan perkataan itu, penulis tiba-tiba menjadi sebak kerana belum ada mana-mana sahabat penulis yang menitikberatkan soal zuriat sebagai suatu yang istimewa apabila berumahtangga. Lantas diperakui penulis bahawa nikmat yang paling besar apabila kita berumahtangga adalah anak. Mungkin penulis mampu untuk menepis segala godaan nafsu gelojak dengan membujang kerana penulis sedang merasai kemanisan berada dalam jamaah, tetapi perjuangan memerlukan pelapis. Apalah gunanya jika kita bersemangat waja untuk mendaulatkan ISLAM di bumi tercinta sekiranya perjuangan kita tidak mempunyai pelapis. Ternyata sahabat penulis itu sudah berjaya merungkai segala kekeliruan penulis mengenai alam rumahtangga.

Terima kasih sahabat. Segala nasihat yang sahabat pernah lontarkan kepada penulis akan penulis manfaatkan untuk masa hadapan demi sebuah perjuangan suci mendaulatkan ISLAM. Mengenai Baitul Muslim yang sahabat cadangkan kepada penulis, insyaALLAH akan penulis pertimbangkan dengan mizan yang rata. Semoga ALLAH memanjangkan ukhuwah kita sehingga ke syurga ALLAH.

ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!
ALLAHUAKHBAR !!!

No comments:

Post a Comment