Friday, November 13, 2009

Apa Sebenarnya Masalah Real Madrid...?

Satu kejuaraan sudah terlepas dari jangkauan untuk dikecapi. Yang tinggal untuk digapai tinggal dua yang penulis nampak semakin sukar andai corak pemainan mereka masih belum konsisten. Penulis maksudkan adalah pasukan kegemaran penulis iaitu Real Madrid. Satu kejuaraan yang walaupun prestijnya kurang berbanding memenangi kejuaraan yang tinggal untuk dimenangi Real Madrid, telah dilepaskan oleh pemain Real Madrid. Apa sebenarnya yang berlaku ke atas pemain Real Madrid? Adakah kerana piala yang tidak menarik untuk dimenangi ini telah membuatkan pemain Real Madrid bermain sambil lewa menentang pasukan yang langsung tidak dikenali penulis walaupun di dalam permainan komputer Football Manager? Jika tidak menarik sekalipun, adakah mereka berpuashati dengan dikalahkan oleh pasukan yang tidak terkenal seperti itu?


Penulis sebenarnya sangat tertarik untuk memberikan maklumbalas mengenai kejuaraan ini kerana penulis pernah menyaksikan satu kebangkitan ajaib dari pasukan ini dalam kejuaraan yang sama iaitu ketika menentang pasukan Zaragoza pada tahun 2006 selepas pada pusingan pertama mereka dikalahkan dengan jaringan 6-1. Ketika itu pasukan Real Madrid telah dibimbing oleh jurulatih bidan terjun Juan Lopez Caro selepas jurulatih asal mereka iaitu Vanderley Luxemburgo telah dipecat pada Disember 2005. Secara peribadi, penulis sangat menyenangi jurulatih bidan terjun ini kerana dikala pasukan sedang bergelut untuk bersaing dengan Barcelona yang ketika itu bergelar Pasukan Impian Dunia, namun dia berjaya membentuk satu kombinasi mantap antara pemain-pemain muda di dalam akademinya dengan pemain-pemain yang sedia ada yang bertaraf bintang. Walaupun dalam perlawanan timbal balik yang diadakan di Santiago Bernabeu berkesudahan dengan kemenangan 4-o oleh Real Madrid dan tidak cukup untuk membolehkan mereka melangkah jauh, tetapi penulis kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh pasukan ini kerana mereka berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh 10 minit pertama.



Akan tetapi, itu cerita dahulu. Kebangkitan menakjubkan seperti itu adalah kenangan manis yang lepas dalam lipatan sejarah. Apa yang berlaku pada hari ini adalah cukup mendukacitakan peminat-peminat Real Madrid. Kekalahan 4-0 di tangan pasukan kerdil Alcorcon sebenarnya belum cukup memeritkan tetapi kegagalan mereka untuk bangkit di stadium yang dikatakan keramat adalah sesuatu yang lebih memalukan. Hanya satu gol yang dapat dihasilkan mereka yang cuma hadir pada minit ke-80. Itupun datangnya gol itu dari pemain yang sepatutnya mereka jual pada musim perpindahan pemain lepas. Cukup memalukan. Walaupun pemain ini sangat setia dengan Real Madrid bersama pemain yang sudah dijual, Wesley Sneijder, tetapi pengurusan pasukan ternyata tidak menghargai kesetiaan mereka. Jadi, apakah sebenarnya masalah Real Madrid?

Pada pandangan penulis, pihak pengurusan tidak sepatutnya menggunakan kuasa mereka untuk mencampuri urusan kejurulatihan dan pembelian pemain. Sudah terlalu ramai jurulatih ditukar oleh pengurusan semata-mata untuk memenuhi hajat besar mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah sedangkan ia sebenarnya mendatangkan kesan dari segi taktikal dan mentaliti pemain seluruhnya. Polisi pembelian besar-besaran yang dijalankan sekarang tidaklah ditentang tetapi seeloknya bagi penulis biarlah wang yang banyak itu dilaburkan sama untuk pembangunan akademi belia mereka supaya pemain-pemain bintang yang mereka beli itu tidak dipersia-siakan bakat mereka tanpa pewaris. Melatih pemain ketika mereka masih ditagih untuk bermain adalah lebih efektif berbanding ketika mereka melatih pemain apabila mereka sudah bersara kelak. Ini kerana kudrat yang mereka ada ketika sudah bersara adalah semakin berkurangan dan ini akan membataskan penumpuan pemain muda untuk mengikut arahan jurulatih. Dan pemain terbaik dunia tak semestinya akan menjadi seorang jurulatih yang baik pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment